
Harga:- RM19-90
FRAGMEN NOVEL :
CINTA PERTAMA melambatkan perjalanannya. Dia teringatkan Nurul Iman yang tidak begitu sihat sejak akhir-akhir ini. Dia agak bimbang namun Nurul Iman tetap tabah melaluinya.
“SEMUA perempuan kena lalui semua ini ke papa?”
“Macam tulah Carl. Mama Carl pun macam tu jugak dulu. Sebab tu, walau apa pun yang mama Carl telah lakukan, papa tetap ingat jasa dia, pengorbanan dia mengharungi sembilan bulan dengan kepayahan. Kalau bukan kerana pengorbanannya, papa tak ada zuriat. Merenung wajah Carl, mengingati detik-detik membesarkan Carl menyebabkan papa tidak pernah rasa marah dengan mama kamu,” kata Razali penuh ikhlas.
Terkesima Carl Zafran mendengarnya. Entah apa perasaan yang menyelinap dalam jiwanya dia tidak pasti, cuma dia sama-sama dibuai rasa terharu.
“Pengorbanan mama Carl walaupun tak lama tapi dah cukup membahagiakan papa. Kerana dia, Carl wujud dan berada di sisi papa. Kebahagiaan papa bertambah bila Carl berkahwin dengan Iman malah berganda sekarang kerana kalau diizinkan ALLAH papa akan menimang cucu tak lama lagi.”
Suara Razali begitu menusuk hati Carl Zafran. Sejak sekian lama, dia kagum dengan papanya yang begitu penyabar. Namun, dia tidak pasti adakah dia akan menjadi sesabar papanya suatu masa nanti.
“Jaga Iman dengan baik, jangan sia-siakan dia. Ingat sentiasa ketika dia dalam kesakitan, ketika dia dalam kepayahan. Papa percaya, kalau Carl sentiasa mengingati kepayahan dia, Carl tak akan sampai hati mengkhianati Iman. Dan papa percaya dia akan menghargai Carl sepanjang hidupnya.”
Itu pesan papanya. Nasihat papanya disimpan kejap dalam hati. Dia akan cuba menunaikan permintaan papanya. Dia tidak akan mensia-siakan Nurul Iman.
“IMAN tak payahlah buatkan Carl sarapan, Iman tu kan tak sihat.”
“Taklah Carl, selagi larat, Iman akan buat yang terbaik untuk Carl. Iman akan buat apa sahaja untuk Carl. Inikan tanggungjawab seorang isteri.”
Suara Nurul Iman merisik, menyusup ke dalam hati Carl Zafran. Dia benar-benar terharu. Begitu tulus Nurul Iman. Begitu kasihnya seorang isteri terhadap suaminya. Dia hanya membiarkan Nurul Iman membutangkan bajunya ketika itu.
“Carl tak mahu Iman sakit.”
“Sakit ini cuma sementara aje, Carl. Dalam tiga bulan pertama aje. Insya-ALLAH, lepas ni tak ada apa-apalah. Lagipun, umi dah pesan, sakit ni kena lawan. Mungkin jugak ALLAH nak menduga, sejauh mana kasih Iman pada Carl agaknya. Iman yakin kasih Carl tak akan berubah walaupun Iman sakit-sakit, kan?”
“Iman, walau apa sekali pun keadaan Iman, walau apa pun terjadi, hanya Iman cinta hati Carl seorang.”
Carl Zafran mengucup hidung isterinya yang sudah selesai membutangkan baju. Isterinya itu sudah beberapa hari diberi rehat oleh doktor. Namun, isterinya itu tetap menjalankan tugas sebagai isteri di rumah.
“Kenapa Carl cintakan Iman?” tanya isterinya tiba-tiba. Soalan itu tidak pernah ditanya oleh Nurul Iman sebelum ini.
Carl Zafran tergamam seketika. Perlahan dia memegang tangan Nurul Iman lembut. Didudukkan isterinya di birai katil.
“Iman tahu, kan cinta tidak perlukan sebarang alasan. Jika kita dah sayang seseorang itu, dah mencintai seseorang itu, sebenarnya kita tak mempunyai alasan kerana hanya perasaan aje yang tahu kenapa timbulnya rasa cinta itu,” bisik Carl Zafran lembut.
Nurul Iman merangkul pinggang suaminya erat.
“Sebab itu kalau Iman tanya kenapa Carl cinta Iman, Carl tak ada jawapannya…”
Bunyi hon kereta menyentak dan agak membingitkan telinga Carl Zafran. Dia terpinga-pinga dan melihat dari cermin keretanya arah mana bunyi hon tersebut.
‘Ahh, jauhnya aku melamun...’
Dia tahu dia agak lambat balik hari ini. Tidak sabar hatinya untuk berjumpa dengan Nurul Iman. Tidak sabar untuk menatap wajah isterinya dan entah mengapa rasa rindu begitu kuat menyapa tangkai hatinya.
Paling penting dia ada membawa sesuatu dan berharap Nurul Iman akan menyukainya.
Komen:-
memang best citer ni jugak pernah digarap dlm drama tajuk Cinta pertama jugak.. aku pun tak pernah tengok drama tu tapi mak mertua aku yg cakap... hehehe.. tapi karya ni memang tak rugi beli....