
Nak komen lebih tak berapa pandai. Cam biasalah kalau bukan kes misteri, pembunuhan memang tak sah oleh Ramlee Awang Murshid. Layan

Mandatori
Penulis :- Ramlee Awang Murshid
Harga :- RM 19.90
Terbitan :- Alaf21
Sinop:-
Bermula dengan hukuman di tali gantung yang dikenakan ke atas seorang pemandu, Carlos menyimpan dendam menuntut keadilan. Seorang demi seorang yang menzalimi akan terpaku di mahkamah keadilan yang dicipta oleh Carlos sendiri. Dialah pendakwa raya dan dia jugalah hakim.
Bagi Carlos, peguambela sudah tidak perlu lagi kerana pendakwaan membawa erti kesalahan telah terbukti. Sesiapa yang diadilinya pasti akan menerima hukuman dengan sekali perbicaraan. Dan hukuman yang pasti ialah hukuman mati mandatori!
FRAGMEN NOVEL :
MANDATORI
NONG CHIK dan Manan menyorong sebuah troli ke bilik mayat. Bilik mayat itu merupakan sebuah peti sejuk yang mempunyai petak-petak seperti sebuah kabinet pejabat. Ia lekat di dinding dalam bentuk memanjang setinggi tiga tingkat. Nong Chik dan Manan telah melengkapkan diri mereka dengan pakaian khas untuk membantu Kelvin Yap melakukan bedah siasat di bilik mayat itu.
“Rama Chandran...” Manan membaca sekeping kertas yang ditampal pada satu penutup antara petak-petak peti sejuk di bilik itu.
Nong Chik membaca fail yang diletakkan di atas troli. “Bukan... bukan... Mayat tu baru sampai dari Haadyai petang semalam. Tangguhkan dulu.”
Nong Chik menyelak fail pada helaian sebelah.
”Mayat... Sufian bin Halim dan Fatimah Fekar.”
“Kedua-dua sekali?” Manan bertanya.
“Mayat Sufian dulu.”
Manan pun mencari-cari nama Sufian di petak-petak peti sejuk itu. Setelah menemui petak itu, dia pun menarik keluar. Kelihatan jasad kaku yang dibungkus plastik. Lalu mereka pun sama-sama mengangkat mayat itu ke atas troli. Penutup petak itu kemudian ditolak semula. Tertutup rapat.
Mereka menolak troli itu masuk ke bilik mayat. Sementara menunggu kedatangan Kelvin, mereka menimbang mayat itu terlebih dahulu. Selepas berat si mati dicatatkan, jasad kaku itu diangkat ke atas meja bedah siasat dalam keadaan telanjang bulat. Walaupun tidak bernyawa lagi pembedahan tetap dilakukan untuk tujuan siasatan pihak polis dan forensik sendiri. Mayat Sufian di bawah kes polis dan memerlukan siasatan kematian tertakluk kepada undang-undang. Tiada anggota keluarga yang boleh membantah. Post-mortem adalah satu kemestian di bawah undang-undang yang telah ditetapkan.
“Okey! Dah siap?” Tiba-tiba suara Kelvin kedengaran agak melaung sedikit tatkala melangkah masuk ke bilik itu.
Manan dan Nong Chik menoleh serentak.
“Dah siap, doktor,” kata Nong Chik kemudian.
“Kenapa nak cepat sangat ni?” Kelvin merungut. Dia terpaksa datang awal ke hospital pagi ini atas perintah pegawai atasannya. Air mukanya kelihatan muram. Tampak seperti tidak cukup tidur sahaja.
“Pihak polis memerlukan bantuan kita untuk membereskan kes ini, doktor. Lagipun... keluarga si mati meminta agar bedah siasat segera dilakukan. Mereka tak mahu menangguhkan urusan pengebumian,” jawab Manan menerangkan keadaan sebenar.
Kelvin tidak menjawab. Keadaan mayat Sufian diperhatikan. Memeriksa bahagian luaran terlebih dahulu. Bedah siasat itu perlu untuk mencari punca kematian, kecederaan, senjata yang digunakan dan masa kematian serta pelbagai aspek berkaitan.
‘Bunuh! Lelaki ini dibunuh!’ kata Kelvin seakan bercakap kepada dirinya sendiri.
Prosedur biasa dilakukan dengan memeriksa luaran mayat sebelum dibedah. Kelvin turut memastikan tanda-tanda pengenalan diri mayat, kecederaan luaran dan memastikan bahagian tubuh mayat yang hendak dibedah. Prosedur itu dilakukan untuk mengenalpasti sebab-sebab kematian.
Kadar penurunan suhu mayat adalah 0.8 darjah celcius dalam masa sejam. Dan mula menurun dua hingga tiga jam setelah kematian. Mayat kaku itu turut dipengaruhi oleh keadaan suhu persekitaran sewaktu mati, aktiviti sebelum mati, umur dan susuk badan si mati. Daripada keadaan kaku mayat, Kelvin selaku pakar forensik yang berpengalaman dapat menganggarkan waktu kematian. Dalam tempoh 36 jam mayat akan mula mengalami proses pembusukan.
Kelvin memerhatikan kepala mayat Sufian. Terdapat lubang kecil di bahagian dahi. Itu bekas tembakan. Kemudian Kelvin mengangkat kepala si mati. Bahagian tempurung kepala bahagian belakang pecah. Cebisan otak turut terkeluar. Kelvin sedia maklum jika kes bunuh seumpama itu.
Peluru yang menembusi tempurung kepala bahagian depan atau dahi sekadar terdapat lubang kecil iaitu sama saiz dengan bentuk peluru. Tetapi peluru yang seakan berputar apabila menembusi mana-mana anggota tubuh berupaya melakukan pecahan yang lebih besar di bahagian tempurung kepala belakang. Begitulah sebaliknya berdasarkan arah sesuatu tembakan itu dilakukan.
Darah dikeluarkan dari mayat Sufian kerana mengalami pendarahan yang serius. Ia bagi memudahkan bedah siasat dilakukan di bahagian kepala dan dengan itu tengkorak perlu dibelah untuk mengeluarkan otak.
“Gergaji elektrik,” pinta Kelvin.
Kelvin mula membuat pembedahan. Tempurung kepala dibelah dua dari atas kening mata memanjang ke bahagian belakang sehingga ke pangkal leher. Otak si mati yang cacat akibat tembakan itu dikeluarkan, lalu diserahkan kepada Nong Chik. Organ otak itu ditimbang dan dicatatkan beratnya.
Kelvin memeriksa bahagian dalam. Kecederaan yang serius sehingga membawa kematian. Kesan seperti terbakar dari kedua-dua arah dalam. Kelvin mencapai sebilah pisau kecil bermata halus dan tajam, lalu menghiris bahagian itu. Manan membawa balang bermulut lebar. Kelvin memasukkan cebisan itu ke dalam balang. Manan segera menutup balang itu dan diletakkan di atas sebuah meja memanjang yang selari dengan singki paip.
Kelvin memeriksa organ otak yang dikeluarkan tadi. Dilihat dari sudut-sudut yang berlainan. Terdapat serpihan logam peluru pada bahagian otak belakang yang selari dari arah depan. Kelvin memotong cebisan organ itu lalu dimasukkan ke dalam balang yang lain pula. Manan kemudian meletakkan balang itu bersebelahan dengan balang sebelumnya tadi.
Darah dan organ si mati diambil sedikit bagi tujuan penyiasatan dan penyelidikan. Tisu organ yang diambil tadi akan dikeraskan di dalam sebuah bilik khas bagi membolehkan ia dipotong halus. Bertujuan menghasilkan silinder kepingan kaca untuk diselidik melalui mikroskop. Keputusan itu boleh diperolehi dalam masa seminggu. Contoh darah pula akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk mengesan keracunan atau toksikologi.
“Tolong uruskan mayat tu ya. Rehat setengah jam dulu sebelum melakukan bedah siasat mayat-mayat yang lain,” kata Kelvin.
“Ada dua mayat lagi, doktor. Seorang tu perempuan... sama kes dengan mayat ni,” kata Nong Chik.
“Dan satu lagi mayat seorang lelaki keturunan India. Mati di Haadyai, Thailand. Semuanya kes bunuh, doktor.” Nong Chik melaporkan berdasarkan catatan dalam fail forensik yang disemak pagi tadi.
“Okey...” Kelvin mengangguk. ”Mayat lelaki keturunan India tu kita tangguhkan dulu.”
“Tapi doktor... err...” Nong Chik cuba membantah.
“Tak apa. Saya faham prosedur kerja. Kalau sempat kita lakukan malam ni. Selewat-lewatnya pun mungkin esok pagi.”
“Okey...” Kelvin mengukir senyuman sambil menepuk bahu Nong Chik.
Setelah ditunjukkan oleh jururawat bertugas di kaunter pertanyaan, Juliana mula mengatur langkah kakinya ke arah bilik mayat.
Bola mata Juliana melilau di ruangan itu. Mencari-cari sesuatu. Pandangannya terhenti apabila terlihat bekas ibu dan ayah mentuanya serta kaum keluarga bekas arwah suaminya. Juliana menghampiri mereka. Namun kedatangannya disambut dengan hambar. Bekas ayah mentuanya memandang benci kepada dirinya.
“Ayah...” tegur Juliana kepada bekas ayah mentuanya itu.
“Untuk apa kau datang? Kau tentu gembira dengan kematian Sufian, kan!?” tengking lelaki tua itu.
Juliana tersentak namun masih mampu mengawal perasaannya.
“Jangan-jangan... kau yang upah orang bunuh Sufian!” Tuduh orang tua itu lagi. Air mukanya merah padam. Kecewa lama akibat perceraian Sufian dan Juliana kembali membakar. Sekali gus menjadi dendam kepada impian yang tidak kesampaian.
Juliana tergamam.
“Ayahnya... sudahlah tu...” pujuk bekas emak mentuanya cuba menenteramkan suaminya.
“Mak...” Juliana duduk di sebelah bekas emak mentuanya. Dia memegang tangan perempuan itu.
Emak arwah Sufian merenung wajah Juliana dengan pandangan berkaca. Air mata bertakung di kelopak yang sudah berkedut itu. Sejurus ia melimpah membasahi pipi tuanya. Juliana berusaha memujuk kesedihan ibu tua itu.
“Kami nak kebumikan Sufian lepas Asar ni juga,” kata bekas emak mentua Juliana. Mengesat air matanya yang tumpah tadi.
Juliana sekadar mengangguk. Dalam diam dia berhasrat hendak menghadiri upacara pengebumian bekas arwah suaminya itu petang ini. Juliana akan membawa Sofia sekali. Hari ini juga dia akan berterus terang mengenai kematian ayah kandung Sofia itu.