Caluk Corner
*


Login with username, password and session length

From the news...

Marilah "OT"
Pages: [1]   Go Down
Print
Author Topic: e-Novel ..:: Dua Dunia - Oleh : Rnysa ::..  (Read 2286 times)
suzry
Ketua Darjah
Sifu OT
*****
Gender: Female
Posts: 17,219



WWW
« on: February 16, 2008, 12:03:42 PM »

DUA DUNIA (1)
Satu


Apa sebenarnya yang tidak beres dalam dirinya? Dia punya pekerjaan yang bagus, keluarga yang memahami, dan kawan-kawan yang menceriakan hidupnya. Walaupun masih muda, dia sudah memiliki rumah dan kereta sendiri. Sudah pastinya rumah impiannya itu rumah dua tingkat, kembar dua dengan laman yang sangat luas, membolehkan dia mencipta taman mini sendiri (termasuklah kebun sayur). Keretanya pula... perlukah dia nyatakan di sini?

Tetapi... tetapi di sebalik semua itu, dia rasa hidup ini masih tidak lengkap. Ada satu ruang kosong di dalam hati yang tidak bisa dia ungkap dengan kata-kata. Sebenarnya sudah berbulan-bulan lamanya dia berada dalam keadaan begini. Dia sudah cuba berbagai-bagai petua menghilangkan rasa kekosongan ini tetapi masih juga gagal. Ketenangan yang dicari tidak jua hadir.

Mungkin sudah tiba masanya untuk....?
Ah, tak mungkin. Terlalu awal.
Tapi... mungkin juga.

Nisa' meraup wajah berkali-kali. Mungkin Nisa' perlu akui yang sebenarnya dia perlukan 'seseorang' dalam hidup. Telah sampai waktunya. Usia sudah melewati 28 tahun dan dia masih lagi sendiri.
Nisa' mengeluh lagi untuk kali ke berapa. Ya benar, Nisa' sendiri perasan yang dia asyik mengeluh sejak akhir-akhir ini. Adakah dia dilanda depresi seorang perempuan yang kesunyian?

Oh, tidak!

Nisa' bangun dari kusyen sambil membetulkan urat-urat kaki yang mula sengal. Sambil itu matanya melirik ke kiri dan kanan. Kinokuniya KLCC ini sentiasa sesak dengan pengunjung waktu hujung minggu. Dan Nisa' merupakan salah seorang tetamu tetapnya. Langkah diaturkan ke bahagian majalah. Nisa' meletakkan semula majalah yang dibacanya selama satu jam tadi. Dan merayau-rayau ke bahagian lain pula, mencari bahan bacaan yang menarik.

Kadangkala Nisa' rasa ada sesuatu yang tidak kena pada dirinya. Seolah-olah dia hidup dalam dua dunia yang berbeza. Satu dunia realiti dan satu lagi dunia fantasi. Adakah ini berkaitan dengan kerja sambilannya sebagai seorang penulis novel? Untuk berkarya, Nisa' perlu berangan-angan jauh, melangkaui sempadan masa dan... geografi. Mencipta dunia lain di hujung jari seorang penulis. Dunia yang adakalanya terlalu sempurna dan tidak berpaksi pada hakikat.

Seringkali Nisa' berharap warna hidup ini seindah yang dilakar lewat novel tulisannya. Jumpa orang yang kita suka dan perkenalan itu berakhir dengan sebuah ikatan yang suci. Semudah itukah hidup? Mungkin ia hanya berlaku pada orang lain, tidak dia. Selalunya kisah begitu tidak lebih daripada sebuah cerita.

Ah, rasanya Nisa' perlu menulis semula - menyiapkan novel yang ke-empat, barangkali? Sehingga ke hari ini cara itu sangat berkesan dan berjaya menjadi terapi yang terbaik untuk menghilangkan rasa bosan dan sunyi ini. Dalam erti kata lain, dapat mengurangkan tekanan perasaan yang tidak menentu, walaupun hanya berkesan untuk jangka masa yang tertentu sahaja. Tetapi, dalam masa yang sama menambahkan duit poket! Ketiga-tiga novel Nisa' sebelum ini mendapat sambutan yang baik dalam pasaran. Ada juga yang diulang cetak beberapa kali.

Nisa' terus melewati satu rak demi satu rak hingga berhenti di hadapan rak buku berkaitan kejuruteraan. Tangannya mencapai sebuah buku yang sederhana tebal. Sambil itu kepalanya membayangkan situasi-situasi tertentu seperti yang selalu terjadi dalam sebuah novel. Contohnya, sekarang ini dia sedang berdiri di bahagian 'engineering'. Dan di sebelah Nisa'... (dia melirik ke kanan).... ada seorang lelaki tinggi lampai sedang membelek salah sebuah buku yang ada. Kemudian tiba-tiba dia menegur dan menyatakan hasrat ingin bersahabat dengan Nisa' (kerana dia telah jatuh hati pandang pertama!). Lalu Nisa' menerimanya dengan senang hati walaupun ada sedikit perasaan ragu.

Aduh, sekarang Nisa' benar-benar sudah jadi tidak betul! NIsa tersenyum sendiri.

Sebenarnya Nisa' suka lelaki yang suka membaca. Nisa' ingin berkenalan dengan seseorang yang boleh berkongsi minat dengannya. Dan kedai buku seperti ini adalah tempat yang sesuai untuk bertemu dengan kawan yang sebegitu.

"Nisa'?"
Kenapa Nisa' seperti terdengar-dengar namanya ini diseru?

"Nisa'..."
Ah, suara itu lagi.

Nisa' mengangkat wajah lalu matanya terpandangkan lelaki di sebelah ini sedang menatap Nisa' dengan mulut yang terkumat-kamit. Dia?

"Akulah... Asri."

"Asri?" Dan sejak bila pula Nisa' kenal seseorang bernama Asri ini? Nisa' terkebil-kebil mengharapkan penjelasan dan maklumat yang lebih lanjut.

"Aku dah agak mesti kau tak kenal aku." Dia mengurut belakang lehernya. Mungkinkah dia malu dengan tindakannya itu? "Kita kawan satu sekolah dulu. Dari tadika hinggalah tingkatan satu..." Terangnya kemudian.

"Mohd Asri?" Kata Nisa' akhirnya.

Dia mengangguk sambil tersenyum panjang.

Nisa' menarik nafas lega. Mujur tekaan kali ini tepat. Nisa' sebenarnya menghadapi masalah mengingati nama seseorang. Dia selalu bimbang kawan-kawannya berkecil hati dengan 'penyakit'nya yang satu itu.

Nisa' memandang Asri semula. Kalau tidak kerana tahi lalat yang begitu banyak di muka lelaki itu, pasti dia tak dapat mengecam 'Asri'. Masakan Nisa' boleh lupakan lelaki mempunyai banyak tahi lalat ini. Tak silap Nisa', abangnya Asrul dan adiknya, Asma' juga punya ciri-ciri yang sama. Dan seingat Nisa', ibunya pun juga begitu. Faktor genetik?

Mohd Asri... Lihatlah bukan main tingginya dia sekarang. Nisa' memandangnya dari atas ke bawah. Dulu Asri sentiasa lebih rendah daripada Nisa'. Kini Nisa' pula terpaksa mendongak sedikit untuk bercakap dengannya.
Tak sangka lepas bertahun-tahun lamanya Nisa' akan bertemu semula dengan teman waktu kecil dahulu. Tak semena-mena terbit perasaan gembira di dalam hati. Ah, macam dalam novel pula - secara kebetulan kita akan berjumpa dengan seorang lelaki merangkap teman lama! Perlahan-lahan Nisa' mengorak senyum. Tak sangka hari ini dia begitu bernasib baik!

"Kau kerja di mana sekarang?" Soal Nisa' dengan nada ceria. Sudah tentu dia ceria kerana sekarang dia sedang berada di dalam 'babak' di mana mereka akan saling bertukar cerita antara satu sama lain.

"Kerja biasa-biasa aja. Kerja kilang."

Kerja kilang, biasa-biasa... tapi baca buku tentang automotif? Mungkin dia kerja di kilang kereta. Proton, Perodua atau...?

"Kilang di mana tu?" Nisa' bertanya lebih lanjut.

"Rawang."
Perodua. Sah Perodua!

Asri tersenyum lebar. Seperti tahu saja apa yang sedang Nisa' fikirkan tentang dia. Dan peroduanya itu...

Ah, pandai-pandai saja Nisa' meneka. Mungkin Asri bekerja di syarikat lain di Rawang itu. Tetapi perasaan ini kuat mengatakan 'Perodua'. Titik.

"Aku tak sangka dapat berbual dengan kau macam ni. Tak sangka kau ni peramah juga. Waktu sekolah dulu tak berani aku nak tegur." Katanya jujur.

"Saya nampak sombong, begitu?"

Dia mengangguk.
Kiranya memang benarlah, Khairun-nisa' memiliki wajah yang... sombong? Mungkin Nisa' perlu lebih banyak senyum dan ketawa selepas ini? Ya, Nisa' perlu buat begitu.... mulai saat ini! Senyum itukan salah satu cara untuk kelihatan muda.

Setelah lama berbual, akhirnya tiba juga masa untuk berpisah. Namun sebelum itu, Asri sempat meminta nombor telefon Nisa'. Sebenarnya Nisa'  tidak suka memberikan nombornya pada mana-mana lelaki yang baru dikenali. Tetapi memandangkan Asri itu teman satu sekolah (sejak tadika pula), jadi apa salahnya. Macamlah dia begitu rajin hendak menghubungi Nisa'. Mungkin ini sekadar protokol biasa bila kita berjumpa dengan kawan lama. Ambil saja nombor telefon atau alamat rumahnya supaya mudah hantar kad jemputan kahwin kemudian hari.

Kahwin... bila pula dia nak berkahwin? Memikirkan soalan itu Nisa' jadi sedih tak semena-mena.

"Kenapa mengeluh?" Tanya Asri tiba-tiba.

Nisa mengangkat kening. "Tak ada apa-apa..." Dia mengeluhkah tadi? Teruk betul!
Asri merenung wajah Nisa', cuba mencari kebenaran dalam kata-kata Nisa' itu. Lama kemudian baru dia bersuara semula, "Aku senang sekali berbual dengan kau. Aku tak kisah kalau kau nak ceritakan masalah kau pada aku, walaupun kita baru jadi kawan..." Tenang sekali wajahnya.

Bolehkah Nisa' bercerita seenaknya dengan lelaki ini? Tidak sama sekali! Asri tak tahu apa-apa tentang Nisa' dan masalah yang dialaminya ini. Yang pastinya Nisa' tidak mahu berkongsi rahsia hati dengan sesiapa pun.
"Nisa'..."

Nisa' mengangkat muka bila namanya diseru begitu.

"Apa kata hari ni aku belanja kau minum? Meraikan pertemuan kita ni..."

Akal meminta Nisa' menolak, sedangkan hati pula berkata sebaliknya. Sebenarnya Nisa' rasa haus juga. Sudah lebih tiga jam dia berada di sini tanpa minum-minum. Kebetulan pula ada orang mahu belanja. Apa salahnya...

"Tak apalah. Mungkin lain kali..." Macam mana itu pula yang boleh terluah? Sepatutnya...

"Mungkin..." Balas Asri, kedengaran sedikit kecewa.
"Apapun terima kasih." Oh, kenapa pertemuan ini berakhir dengan pantas?

Mereka saling bertukar sepi. Harap tindakan Nisa' ini betul. Dengan tudung labuh bidang 60 ini tentulah membataskan dia daripada melangkaui sempadan persahabatan yang sepatutnya. Walaupun mengenakannya dengan gaya fesyen semasa, Nisa' tidak mahu rasa malu dengan dirinya sendiri. Tudung ini bukan sekadar fesyen, tetapi ia adalah hijab antara diri Nisa' dan segala-gala yang berada di sekelilingnya termasuklah untuk lelaki bernama Asri ini.
Asri... kenapalah dia nampak 'manis' sejak dulu? Nisa' rasa tahi lalat itu banyak membantu menyerikan wajahnya. Barangkali...

Nisa'! Beginikah ciri muslimah sejati? Seenaknya merenung wajah seorang lelaki?

"Nisa' selalu datang sini?"
Nisa' menangguk.
"Kalau begitu, bolehlah kita jumpa lagi lepas ni..."
Kali ini Nisa' tersenyum pula.

Nisa' memerhatikan Asri hingga hilang dari pandangan. Sesungguhnya dia meninggalkan Nisa' dalam perasaan yang sukar mengertikan. Tiba-tiba saja Nisa' teruja untuk menulis sebuah cerita baru. Dan yang pastinya kali ini kisah Nisa' sendiri!

[ bersambung ]
Logged

~ secebis KASIH membuat kita SAYANG... seucap JANJI membuat kita PERCAYA... sekecil LUKA membuat kita KECEWA... tetapi sebuah PERSAHABATAN selamanya BERMAKNA... ~
suzry
Ketua Darjah
Sifu OT
*****
Gender: Female
Posts: 17,219



WWW
« Reply #1 on: February 16, 2008, 12:05:57 PM »

DUA DUNIA (2)
Dua


Aku pulang ke rumah dengan perasaan tenang dan gembira sekali hari ini. Walaupun beberapa hari sebelum ini aku diserang rasa gelisah yang tidak bertepi, namun kini semua rasa itu bagaikan sudah hilang. Dan sekarang, aku seperti orang baru bercinta - asyik tersenyum saja tanpa sebab!
Jari sudah tidak sabar lagi mahu mengetik di atas laptop. Lalu stering ini yang menjadi mangsanya. Aku ketuk-ketuk ia dengan rasa senang hati, mengikut alunan muzik klasik yang berkumandang lewat corong radio.

Sewaktu memarkir kereta di halaman rumah, aku lihat anak jiran sebelahku, Si Hadi dan Zaid sedang main kejar-kejar. Bila mereka terpandangkan kelibatku, terus dua beradik itu berlari menghampiri pagar yang memisahkan rumah kami.

"Auntie Nisa'! Auntie Nisa'!" Laung mereka serentak.

Aku yang sedang mengunci pintu kereta menelan air liur. Auntie? Kan sudah kubilang berkali-kali panggil saja KAK, kenapalah degil betul budak-budak ni? Gerutuku dalam hati.

Panggilan mereka itu mengingatkan betapa umurku tidak jauh bezanya dengan ibu mereka. Kak Sofea Ameirah sekadar setahun lebih tua daripada aku saja. Sebenarnya memang layak sangatlah aku digelar makcik. Aku saja yang suka menyedapkan hati sendiri. Tetapi... tak patutlah begitu sebab aku belum berkahwin dan punya anak sendiri lagi!

"Auntie Nisa'!" Jerit Zaid Al-Hayyi yang berusia lima tahun, lebih kuat daripada tadi. Tangannya yang comel itu tak berhenti-henti menggamit aku. Agaknya dia fikir aku tidak nampak tubuh mereka yang terlindung di sebalik rumpun pokok teh yang kutanam mengelilingi pagar rumah yang setinggi 1.5 meter.

"Ya, ya... Auntie datang ni." Lalu aku terkecoh-kecoh merapati mereka berdua yang sudah terloncat-loncat di tepi pagar. "Mahu ni ya..." Aku mengenyitkan mata sambil menghulurkan segenggam gula-gula pelbagai warna. Memang selalunya aku akan sedekahkan 'buah tangan' itu jika tertemu dengan mereka adik-beradik.

"Terima kasih, auntie!"
"Sama-sama..." Aku mengusap pipi kedua-duanya. Ambil berkat... Teringin juga anak-anak yang comel seperti ini suatu hari nanti. Dan suami...

Aku tegakkan semula badan. Mata ini menyapa susuk tubuh abang Haris, suami Kak Sofea yang berdiri di anjung depan rumah. Dia memandang ke arah aku dan anak-anaknya. Lalu aku melirik pada anjung rumahku yang kosong. Tiada siapa yang menanti. Tiada anak-anak yang comel. Tiada suami yang tampan?

Hadi dan Zaid kembali mendapatkan ayah mereka. Aku hanya mampu memerhatikan mereka dari jauh. Tidak lama kemudian, ibu mereka pula keluar menyertai yang lain. Sebuah keluarga yang bahagia.

Aku tersenyum pahit. Ya Allah, jauhkanlah aku dari kesedihan, sebagaimana engkau jauhkan antara timur dan barat. Aku melangkah longlai menuju ke rumah. Hati ini sudah tidak segembira tadi. Setiap saat aku cuba tidak membandingkan diri dengan orang lain. Aku tidak mahu rasa kekurangan. Aku tidak mahu rasa bahagia hilang. Tetapi adakalanya aku tewas jua. Aku hanya manusia biasa.

"Kakak!"

Wajahku yang mendung tadi serta-merta berubah tatkala melihat wajah ceria Dik Da di muka pintu. Bagaimana aku boleh terlupa tentang dia? Kadang-kadang Allah tidak beri apa yang kita hendak, tapi Allah sentiasa beri apa yang kita perlukan. Aku makin mempercepatkan langkah.

"Lambatnya balik!" Rungut adik bongsuku itu. Sekarang dia sedang bercuti sakan sebelum menyambung pengajian dalam bidang perubatan. Dik Da yang selalu diserang migrain itu masih ada hati mahu jadi doktor. Kalau tidak ada aral melintang, dia juga akan menyertai abangnya di kampus UIAM Kuantan. Maknanya dalam keluarga kami akan ada dua orang doktor. Aku pun boleh dikira sebagai doktor juga. Tapi doktor ikan, bak kata anak buahku.

"Ma?" Aku sedikit terkejut apabila mendapati mama juga ada bersama. Ada sesuatu yang tidak kena. Matanya bergenangan. Sah dia melihat drama swasta aku tadi. Habislah...

"Kenapa ma datang tak beritahu kakak? Bila sampai ni?" Soalku sedikit gemuruh. Selama ini aku berjaya menyembunyikan perasaan aku daripada semua orang. Tetapi, reaksi aku untuk beberapa detik tadi telah meranapkan segala-galanya. Aku sepatutnya jadi wanita berjiwa kental lebih-lebih di hadapan mama.

Mama terus memeluk aku dengan erat tanpa sebarang kata. Kepalaku diusapnya berkali-kali. Pipiku dikucupnya bertalu-talu. Aku sendiri diam seribu bahasa. Aku perlu buat sesuatu.

"Ikan-ikan tu dah makan ke belum?" Tanyaku pada Dik Da dengan nada luar biasa ceria. Mata aku melirik ke arah akuarium besar di ruang tamu.

"Ma, tengoklah kakak ni. Dia lebih pentingkan ikan-ikan dia. Yang kita ni dia tak tanya pun dah makan ke tak." Wajah Dik Da masam mencuka.

Aku ketawa senang hati. Pipi Dik Da yang gebu itu aku tarik kuat-kuat. Dia menjerit kesakitan. Dik Da memang iri hati dengan ikan-ikan aku yang comel itu sedari dulu lagi. Bukannya boleh percaya sangat! Aku sering diburu rasa bimbang yang dia akan mebiarkan ikan peliharaan aku mati kebuluran.

"Dah beri makan ke belum?" Soalku lagi, tegas sedikit.
"Dah!"
"Bagus..."
"Cepatlah mandi. Lepas ni kita boleh minum petang. Dik Da buat cheese cake dan air teh." Ujar Dik Da sambil menarik tangan aku.

"Aduh ma, gemuklah kakak macam ni. Hari-hari orang tu jamu dengan kek. Dik Da ni sepatutnya ambil kursus masakan, bukannya jadi doktor!" Usikku sambil melirik pada mama. Dia hanya menguntum senyum. Aku tidak pasti apa yang bermain di fikirannya. Harap lakonan ceria aku berjaya mengaburi mata dan mengunci mulutnya daripada bertanya bukan-bukan. Tetapi bolehkah tindak-tanduk aku ini menipu ibu yang membesarkan aku sejak dari kecil lagi? Padahal segala-galanya tentang diri aku tersimpan kemas dalam genggamnya.

Aku segera meminta diri naik ke bilik. Badan rebah ke atas katil. Kepenatan masih bersisa. Semalam lima ekor jerung sand tiger dari Johannesburg, Afrika Selatan yang diterbangkan khas oleh MASkargo selamat tiba di Aquaria, KLCC. Biasanya kerja memindahkan ikan-ikan ke dalam akuarium sementara dilakukan pada lewat malam. Keadaannya lebih sejuk berbanding waktu siang. Aku terlibat sama dalam operasi malam tadi. Jam tiga pagi baru tiba di rumah. Tepat jam lapan aku perlu kembali memeriksa keadaan ikan. Selepas segala tugas selesai barulah boleh menjejakkan kaki di Kinokuniya dan akhirnya pulang ke rumah jam lima petang.

Tuhan, saat ini aku rindukan suasana tenang semasa berkelana di Teluk Sepanggar, Sabah. Tamat saja pengajian dalam jurusan sains marin di UKM, aku melanjutkan pelajaran peringkat sarjana di Institut Penyelidikan Marin Borneo, UMS. Satu-satunya kampus induk universiti yang mempunyai pantainya sendiri! Aku terus jatuh cinta pada keindahan bumi di bawah bayu itu. Pantai yang memutih. Laut yang membiru. Keindahan yang masih belum ternoda oleh tangan-tangan manusia.
 
Kalau tidak kerana mama, sudah tentu aku masih berada di sana sekarang. Menatap matahari terbenam tanpa jemu. Menghirup udara lautnya yang segar. Aku hanya sempat menjadi salah seorang kakitangan institut tersebut selama dua tahun. Baru sahaja bercadang menyambung hingga mendapat gelaran doktor falsafah, tiba-tiba mama meminta aku pulang ke semenanjung. Maka, aku terpaksa mengucapkan selamat tinggal pada Teluk Sepanggar. Dan selamat tinggal juga pada kenangan!

Ah, terlalu banyak kenangan manis yang tercipta. Dan dalam tidak aku sedari, ikatan cinta juga terbina. Bolehkah aku tafsirkan hubungan itu sebagai cinta? Adakah istilah cinta sebelum perkahwinan? Atau tidak lebih sekadar hubungan persahabatan? Sesungguhnya aku benar-benar tidak tahu.

[ bersambung ]
Logged

~ secebis KASIH membuat kita SAYANG... seucap JANJI membuat kita PERCAYA... sekecil LUKA membuat kita KECEWA... tetapi sebuah PERSAHABATAN selamanya BERMAKNA... ~
suzry
Ketua Darjah
Sifu OT
*****
Gender: Female
Posts: 17,219



WWW
« Reply #2 on: February 16, 2008, 12:07:45 PM »

DUA DUNIA (3)
Tiga
(sudah diedit semula)


Tuhan, saat ini Nisa rindukan suasana tenang semasa berkelana di Teluk Sepanggar, Sabah. Tamat saja pengajian dalam jurusan sains marin di UKM, Nisa melanjutkan pelajaran peringkat sarjana di Institut Penyelidikan Marin Borneo, UMS. Satu-satunya kampus induk universiti yang mempunyai pantainya sendiri! Nisa terus jatuh cinta pada keindahan bumi di bawah bayu itu. Pantai yang memutih, laut yang membiru. Keindahan yang masih belum ternoda oleh tangan-tangan manusia.

Kalau tidak kerana mama, sudah tentu Nisa masih berada di sana sekarang. Menatap matahari terbenam tanpa jemu. Menghirup udara lautnya yang segar. Nisa hanya sempat menjadi salah seorang kakitangan institut tersebut selama dua tahun. Baru sahaja bercadang menyambung hingga mendapat gelaran doktor, tiba-tiba pula mama minta Nisa pulang ke semenanjung. Maka, Nisa terpaksa mengucapkan selamat tinggal pada Teluk Sepanggar. Dan selamat tinggal juga pada kenangan!

Ah, terlalu banyak kenangan manis yang tercipta. Dan dalam tidak Nisasedari, ikatan cinta juga terbina. Bolehkah Nisa tafsirkan hubungan itu sebagai cinta? Adakah istilah cinta sebelum perkahwinan? Atau tidak lebih sekadar hubungan persahabatan? Sesungguhnya Nisabenar-benar tidak tahu.

Tetapi biar selama manapun Nisa mencari jawapan pada persoalan hati ini, akhirnya ia tetap kembali pada kebenaran. Hakikat kebenaran itu sebenarnya yang menakutkan Nisa. Lalu Nisa cuba lari dari menghadapi kebenaran itu. Bukannya Nisa tidak mengakui bahawa bersamanya buat Nisa tenang. Dan bukannya Nisa tidak menyedari bahawa dia paling layak mengisi ruang di hati ini. Nisa cuma takut kecewa lagi. Cukuplah hanya sekali itu hati dilukai, janji dikhianati. Cukuplah...

"Abang, apa ni?" Nisa pantas menarik tanganku dari genggam lelaki yang kononnya dianggap kekasih. Hati ini panas jadinya. Dia sudah berjanji dulu yang dia tidak akan sentuh Nisa lagi. Tetapi hari itu, dia ulangi lagi perbuatannya yang Nisa tidak gemari. Mana Nisa tidak bengang. Berapa kali perlu Nisa ulang cakap perkara yang sama?

"Nisa' tak sukalah abang buat macam ni. Kan abang dah janji dulu..." Lantas Nisa segera menarik muka masam. Bilik berhawa dingin ini terasa hangat tiba-tiba. Dalam pada itu pandanganku jatuh meja di hadapan kami. Lelaki yang selalu berselisih denganku sewaktu kami sama-sama hendak ke surau kolej turut berada di situ. Lelaki itu rajin betul mengaji Quran di surau. Suaranya pun boleh tahan. Bagaimana aku boleh tahu semua itu? Oh, aku intai dari balik tirai semasa dia sedang mengaji. Waktu itu aku benar-benar ingin tahu pemilik suaranya. Kerana suaranya itu adalah sama dengan suara imam yang menambat hatiku.

Kala itu, dia dan dua orang lagi temannya sedang berbincang sesuatu barangkali. Aku perasan sesekali matanya melirik ke arah kami. Dan apabila mata bertentangan, dia akan tersenyum padaku. Ikhlaskah senyuman itu atau sebenarnya dia sedang mengejek aku?

Aku kembali menatap wajah buah hatiku yang tidak faham bahasa. Keraguan kian menebal. Kegelisahan makin bertambah dari hari ke hari. Masih adakah cinta di antara kami atau masing-masing sekadar berpura-pura? Rasa jemu melanda jiwa. Harapan yang diimpikan dulu bagaikan tinggal angan-angan saja, takkan tergapai. Janji hanya sekadar mainan bibir.

"Ala... abang nak bermanja sikit pun tak boleh. Lagipun kita kan dah lama tak jumpa." Katanya perlahan sambil tersenyum. "Abang rindulah pada Nisa. Rindu sangat..." Dia sekali lagi cuba meraih jari-jemariku.

"Hey, tak faham ke? Orang kata tak suka, tak sukalah!" Suaraku meninggi. Pantas aku menyimpan tanganku di bawah meja. Aku bimbang dia akan hilang kawalan lagi. Sepatutnya aku datang ke bilik 'study' ini untuk mengulangkaji, bukannya melayan lelaki miang ini. Tuhan, bagaimana aku boleh terpilih dia?

"Tak sporting langsung..." Rungut dia. "Abang sayangkan Nisa'. Nisa' tu kan hak abang! Orang lain tu buat lebih lagi. Nisa' ni baru sikit dah bising-bising macam apa. Bosan betullah macam ni..." Dia memuncung.

Mataku membulat. Lelaki itu memang menguji kesabaran!

"Oh, Nisa' ni hak abang? Sungguh ke? Apa buktinya?" Aku pura-pura tertawa sedangkan hati ini sudah terbakar. "Rasanya Nisa' tak ada simpan pun surat nikah kita. Surat tu pun tak pernah wujud. Mas kahwin? Tak ada pun Nisa' terima duit walau satu sen pun daripada abang. Jadi sekarang, apa buktinya abang kata Nisa' ni 'hak abang'? Tunjukkanlah!" Kataku sinis. Mataku merenungnya tajam.

"Memanglah semua tu tak ada lagi!" Dia merengus marah.

"Kalau macam tu senanglah. Lelaki depan tu pun boleh kata Nisa' ni 'girlfriend' dia...dan merangkap hak milik dia. Hak yang boleh dipegang-pegang sesuka hati. Begitu?" Aku menuding ke arah lelaki yang bersuara lunak tadi. Entah bagaimana, dia mengangkat muka dan menatap aku dengan wajah penuh tanda tanya. Aku mengetap bibir. Sedikit malu. Jangan-jangan dia turut mendengar perbualan kami berdua.

Biarkanlah! Kesabaran aku sudah hilang. Aku tak boleh bertahan lagi dengan perangai abang. Aku boleh terima dia susah untuk berhenti merokok (walaupun sebenarnya aku tetap tidak suka). Tetapi bab sentuh-sentuh ini, memang pantang sungguh! Bukannya dia tidak faham. Padahal dulu budak dari sekolah agama, sekarang pun belajar di fakulti pengajian Islam dalam jurusan usuluddin dan falsafah. Tetapi cuba beritahu aku sekarang apakah tindakannya tadi merupakan hasil dari falsafah islam yang dipelajarinya bertahun-tahun lamanya?

Aku melepaskan keluhan berat. Sah aku sudah tersalah pilih. Aku fikir pelajar pengajian Islam seperti dia pandai menjaga adab dan tatatertib sepanjang bercinta. Silap besar! Berilmu tak semestinya beramal. Dan dia adalah salah seorang daripadanya mereka yang kecundang dalam desakan nafsu.

"Abang tak baiklah buat macam tu. Abang tak manislah buat macam ni..." Aku pula yang terpaksa mengingatkan dia sepanjang masa. Aku pula yang terpaksa berusaha keras menjaga perhubungan kami supaya tidak dicemari unsur-unsur. Walaupun begitu, pernah dua, tiga kali aku gagal mempertahankan prinsip diri. Hanya kerana cinta?

Manusia melakukan kebaikan dan kejahatan dengan pilihan dan kehendak mereka sendiri. Namun kebaikan yang dilakukan itu tidaklah berlaku melainkan dengan taufik dan 'inayah dari Allah. Manakala kejahatan pula tidaklah paksaan dari Allah tetapi ia termasuk dalam batasan keizinan dan kehendakNya. Kerana tidak memelihara perintah Tuhan, maka Dia pun tidak memelihara aku. Kerana tidak memelihara larangan Tuhan, maka aku dapati Dia tidak selalu di hadapan aku untuk memberi petunjukNya.

"Macam nilah baru abang sayang." Dia menggengam erat tanganku sambil melangkah menuju ke kompleks membeli-belah. Lalu aku diburu rasa bersalah tiada penghujungnya. Sampai bila aku perlu bertolak-ansur dengan dia? Kenapa aku rasa dia sekadar mahu mengambil kesempatan?

"Kalau tak beri, abang tak sayanglah ya?" Aku menduga. Dia tidak menjawab, hanya tersenyum puas. Dan kebencian mula melata di hati.

Pertemuan malam di kolej yang berakhir dengan perang besar itu membawa kepada perpisahan kami berdua. Seminggu kemudian, dia semula datang menemui aku. Tetapi kali ini misinya berbeza. Dia mahu memutuskan hubungan yang masih muda usianya - baru satu semester bercinta sudah berpisah! Apa ertinya cinta jika tidak berakhir ke jinjang pelamin? Sekadar untuk main-main? Tidak! Aku cukup serius dalam hal ini. Berharap cinta pertama ini berakhir dengan indah. Tetapi takdir tuhan tidak mengizinkannya.

"Kita tak serasi."

Memang pun. Sejak awal lagi aku sudah menjangkakan hal ini akan berlaku. Mana mungkin kita bisa menuju destinasi yang sama, seiring sejalan andai cara kita mencapai dan melaksanakannya berbeza. Cinta layu kerana bergelumang dengan dosa. Cinta telah diracun prasangka sememangnya takkan kekal lama. Kenapalah aku begitu pantas menerima sebuah cinta?

Cinta selalunya datang bersama bahagia. Namun kita seringkali terlupa bahawa kadang-kadang ia juga datang bersama derita. Tetapi cinta tetap menarik untuk diperkatakan. Kerana itulah, aku tergerak hati mahu menulis tentang cinta. Tentang perasaan fitrah antara lelaki dan perempuan. Pasti orang tidak menyangka bahawa novel pertama aku dahulu ditulis sebaik sahaja aku putus cinta.

Hidup ini memang aneh. Bagaimana seorang yang sudah putus cinta boleh menyuarakan segala isi hatinya seolah-olah dia sedang asyik dilamun cinta? Apa yang aku tulis sama sekali berbeza dengan perasaan aku yang terluka waktu itu. Bagaikan tidak percaya pula aku mampu melakukannya dengan baik. Sehingga ramai yang menyangka watak dalam cerita itu adalah diri sendiri. Dan aku sedang menulis pengalaman hidup sendiri.

Sedangkan hakikat sebenarnya ia cuma lahir dari hasrat hati yang tidak tercapai. Hubungan begitulah yang aku idam-idamkan. Cinta dan kasih yang tidak perlu diungkap. Rindu dan sayang yang tidak perlu diucap. Biarlah semuanya terluah setelah terjalinnya sebuah ikatan murni. Bukankah itu lebih indah?

"Nisa' datanglah ke Tasmania ni sambung belajar. Buat apa nak ke Aberdeen pula tu. Tentang belanja sara hidup, jangan risau! Semuanya akan ditanggung beres...  kalau Nisa' sudi terima tawaran ni..."
"Apa tawarannya tu?"
"Jadi isteri Sun..."

Mata aku terhenti pada peta Australia yang tertampal di dinding. Dan perasaan aku kembali bergetar. Hanya ada dua perkara yang melintas fikiran saat ini. Tentang cita-cita yang belum selesai. Tentang cinta yang belum pasti.

Tuhan, kali ini aku serah dan sandarkan setiap urusanku kepadaMu. Semoga akan bangkit kekuatan zahir dan batin di dalam jiwa dan diriku ini. Yang menyebabkan segala kepayahan dapat dihadapi dengan mudah.

Hari ini aku sekali lagi melafaz janji. Aku akan kembali meneruskan tugas yang telah Dia amanahkan kepadaku. Aku akan kembali menulis. Kerana aku tahu Dia anugerahkan bakat ini bukan untuk dipersia-siakan. Kerana aku tahu Dia ciptakan aku di dunia ini bukan untuk main-main. Sampai satu masa aku akan dikembalikan kepadaNya dan saat itu pasti Dia akan bertanyakan nikmat-nikmat yang telah kurniakanNya. Maka pada hari yang telah dijanjikan itu, aku akan bertanggungjawab di atas apa yang telah aku buat selama ini.

Memikirkan hal itu aku beristighfar memohon keampunan pada Tuhan yang Maha Esa. Moga-moga dapat membersihkan diri dari dosa, taubat dan iman diperbaharui. Tuhan, aku telah banyak membuang masa melayan perasaan yang bukan-bukan. Sedangkan setiap detik yang berlalu mendekatkan aku pada kematian. Aku sudah tidak punya banyak masa untuk mengajak orang mendekatkan diri mereka kepadaMu dan memikirkan betapa hebatnya cintaMu.

Hidup ini tanpaMu apa ertinya cinta. Manusia sering terlupa tentang cintaMu kerna mereka terlalu asyik mengejar dan mencari cinta sesama mereka yang belum pasti bertemu bahagia. Walhal hadirMu seperti nyanyian dalam hati, yang sentiasa memanggil rindu padaMu. Seperti udara yang dihela, Kau selalu ada. Hanya Kau yang bisa membuat hati tenang, tanpaMu diri merasa hilang dan sepi. Aku perlu khabarkan mereka tentang itu meskipun perjalanan menuju cintaMu itu terlalu jauh dan penuh ranjau berliku. Kerana aku sedang merasai kehangatan cintaMu itu yang mengalir ke segenap urat nadiku. Dan aku juga mahu mereka turut sama merasainya.

[ bersambung ]
Logged

~ secebis KASIH membuat kita SAYANG... seucap JANJI membuat kita PERCAYA... sekecil LUKA membuat kita KECEWA... tetapi sebuah PERSAHABATAN selamanya BERMAKNA... ~
suzry
Ketua Darjah
Sifu OT
*****
Gender: Female
Posts: 17,219



WWW
« Reply #3 on: February 16, 2008, 12:08:38 PM »

DUA DUNIA (4)
Episod 4

"Mana Alex? Tadi bukan ke dia ada kat sini?" Soal Razzi sebaik sahaja menanggalkan alat pernafasannya. Matanya memilau mencari seorang lagi 'aquarist' yang bertugas bersama-sama dengan Nisa'.

"Dia pergi admin. Ada 'emergency'...." Balas Nisa' sambil mengangkat baldi yang berisi ikan ke atas troli. Sudah bersedia menuju ke tangki akuarium yang  seterusnya.

"Pergi jumpa si Farah ke?" Penyelam muda itu bersuara lagi. Semua pekerja di Aqua World sudah maklum tentang hubungan antara Alexander Chaung dan Farah Najihah. Mereka telah berkawan dan bercinta semasa sedang menuntut di Australia lagi. Dan masih terjalin sehingga ke hari ini.

Nisa' mengangguk.
"Ada masalah keluarga..." Ujarnya kemudian, lambat-lambat. Bimbang perbincangan ini akan berlarutan pula.

Dan bagaikan memahami , Razzi tidak bertanya lagi. Dia masuk ke tangki akuarium yang kelima buatnya untuk pagi itu Tugas tetap diteruskan. Setiap hari dia akan membantu Nisa' dan Alex memberi makan kepada ikan-ikan yang menghuni Aqua World yang asalnya tempat parkir kereta yang telah diubahsuai ini.

Walaupun hanya terlibat dalam proses menyediakan makanan, kadangkala Nisa' atau Alex sendiri akan masuk ke dalam tangki akuarium. Masing-masing sememangnya memiliki lesen penyelam profesional dari PADI (Professional Association of Diving Instructors). Contohnya Nisa' sendiri, kira-kira dua bulan yang lepas dia baru saja lulus ujian Specialty Instructor untuk kali keduanya. Sekarang dia sedang sibuk mengumpul sekurang-kurangnya lima sijil untuk melayakkan dirinya menjadi Master Scuba Diver Trainer. Hebat betul gadis itu. Razzi sendiri baru setakat divemaster sahaja.

"Nisa' nak jadi perintis kepada wanita Islam yang bertudung. Kan bidang ni kurang mendapat tempat dalam masyarakat kita. Setidak-tidaknya Nisa' dapat bantu mereka sebagai tenaga pengajar." Begitulah aquarist berusia dua puluh lapan tahun itu pabila ditanya mengapa dia bersusah-payah lagi mendapatkan lesen sebagai instructor. Padahal Nisa' sudah menjadi instructor khas kepada golongan muslimah yang bertudung yang minat menyelam. Setiap hujung minggu dia akan berada di Pusat Akuatik Darul Ehsan mengajar mereka.

"Manalah tahu... ada rezeki lebih nanti, boleh buka diving school sendiri." Tambahnya kemudian dan membuatkan Razzi terus jadi segan dengan gadis yang bercita-cita tinggi seperti Nisa'.

[ bersambung ]
Logged

~ secebis KASIH membuat kita SAYANG... seucap JANJI membuat kita PERCAYA... sekecil LUKA membuat kita KECEWA... tetapi sebuah PERSAHABATAN selamanya BERMAKNA... ~
suzry
Ketua Darjah
Sifu OT
*****
Gender: Female
Posts: 17,219



WWW
« Reply #4 on: February 16, 2008, 12:09:54 PM »

DUA DUNIA (5)
Episod 5

"Macam mana trip ke Maldives hari tu? Mesti seronok kan?" Nisa' bertanya, bila dia teringat Razzi dan beberapa orang lagi temannya baru pulang pulau yang terletak di Lautan Hindi itu. Razzi tersenyum sambil mengangguk perlahan. Tapi, senyum menyirna tiba-tiba.

"Kenapa?" Soal Nisa' yang perasan akan perubahan wajah Razzi itu.

"Ada satu kawasan tu... batu karangnya habis rosak, mati. Heat-damaged. Kesian pada ikan-ikan kat situ..." Ujarnya seraya mengambil fins lalu dikepit di bawah lengan.

"Coral necropolis..." Sahut Nisa' sambil tergeleng-geleng kesedihan. "Air panas... cuaca panas. Semua tu galakkan coral to shed the alga that nourish it - a bleaching event that leaves coral white. Some reefs recover from bleaching while others become briny boneyward."

Razzi menganguk setuju. "Dengar kata, tahun 1998... world's coral suffered it worst year on record, kan?" Dia mengangkat kening.

"Yup... around 16 percent bleached or dead. Ada sesuatu yang tak kena dengan bumi kita ni. Coral reef bleach... salah satu signs from earth..." Nisa' melepaskan keluhan berat. Langkah diteruskan ke underwater tunnel.

"Global warming, Nisa'..." Razzi memberi alasan.

"Paras karbon dioksida naik. Laut makin panas. Glasier mencair. Paras laut naik. Air tasik surut. Musim bunga tiba lebih awal, musim luruh lambat pula..." Sebut Nisa' satu-persatu seperti membaca doa qunut.

Razzi tersengih. "I lupa yang you ni memang pakar dalam bab-bab macam ni..."

Nisa' tergelak. "Dah memang bidang I." Tak semena-mena dia teringat akan Sun. Kalau berborak dengan lelaki itu pasal bab-bab begini, mesti takkan habis. Atas sebab itu, Nisa' rasa senang dengan keserasian mereka. Hatinya tiba-tiba jadi rindu pada senior sekolejnya di UKM itu merangkap....

"Tahun lepas you join projek AWARE kan. You buat apa?" Soalan Razzi mengejutkan Nisa' dari memikirkan soal 'matahari hati'nya.

"Coral reef conservation. Kat Pulau Redang. Kami..."

"Nisa'! Tu...." Razzi cepat-cepat memotong. Mulutnya memuncung ke arah sesuatu.

Nisa' segera menoleh. Farah dan Alex sedang menuju ke arah mereka. Mata Farah memerah. Kesan menangis. Apa yang tak kena dengan gadis kecil molek itu?



Thanks to... National Geographic =)


Makluman Terkini:

Insya-Allah, 2 Dunia dalam versi cetak akan muncul.
Dan diberi nama baru "Albatros: Antara Langit dan Bumi".

..:: TAMAT ::..
Logged

~ secebis KASIH membuat kita SAYANG... seucap JANJI membuat kita PERCAYA... sekecil LUKA membuat kita KECEWA... tetapi sebuah PERSAHABATAN selamanya BERMAKNA... ~
Pages: [1]   Go Up
Print
 
Jump to:  

Recent
by soul
[May 15, 2012, 03:37:36 PM]

[May 15, 2012, 12:21:07 AM]

by soul
[May 08, 2012, 09:14:48 AM]

by soul
[May 08, 2012, 09:14:03 AM]

by soul
[May 08, 2012, 09:13:20 AM]

by soul
[May 08, 2012, 09:12:52 AM]

by soul
[May 08, 2012, 09:10:54 AM]

[May 08, 2012, 12:15:55 AM]

[May 08, 2012, 12:11:01 AM]

[May 08, 2012, 12:07:33 AM]

[May 08, 2012, 12:06:00 AM]

[May 07, 2012, 10:19:30 PM]

[May 07, 2012, 10:18:27 PM]

[May 07, 2012, 10:14:51 PM]

[April 04, 2012, 09:00:04 AM]

[April 04, 2012, 08:50:43 AM]

[April 04, 2012, 08:48:04 AM]

[April 04, 2012, 08:46:58 AM]

[April 04, 2012, 08:45:30 AM]

[April 04, 2012, 08:44:17 AM]

[April 04, 2012, 08:41:49 AM]

[April 04, 2012, 08:36:26 AM]

[March 26, 2012, 09:11:33 AM]

[March 26, 2012, 09:08:10 AM]

[March 26, 2012, 09:04:25 AM]

[February 23, 2012, 08:58:42 AM]

[February 23, 2012, 08:51:52 AM]

[February 22, 2012, 07:17:21 PM]

[February 22, 2012, 07:13:34 PM]

[February 22, 2012, 07:08:26 PM]