|
suzry
|
 |
« on: February 16, 2008, 11:51:03 AM » |
|
MAAFKAN saya Adwya kerana berbuat keputusan begini... Memang telah dalam-dalam saya fikirkan tentang hubungan kita berdua... Tiada kesesuaiannya dalam apa pun… Maafkan saya Adwya... saya mengerti berita ini akan membuatkan awak sedih dan kesal dengan saya... tapi saya rasa ini baik daripada saya berterusan mendustai awak... memang telah ada seseorang yang kini lebih memahami saya dan kehadirannya telah membuatkan saya semakin mengerti hadirnya cinta dalam diri saya maafkan saya sekali lagi..... London 10 April 01, Halim. Saya tak berupaya mempertahankannya lagi Halim, berjauhan begini membuatkan saya juga mengerti perhatian daripada saya buat awak di sana telah tidak kelihatan lagi. Dan saya tidak punya makna apa-apa lagi dalam hidup awak. Terima kasih atas segala-galanya. Johor Bahru 11 April 2001, Adwya. Halim tidak akan nampak air mata ini jatuh, sederas deruan hujan monsun di luar sana, seolah tidak mahu berhenti selepas e-mel itu aku tatapi. Kesal dan luluh perasaan saling menyatu, impian membina kehidupan dengan Halim berlalu bagaikan angin, begitu mudah sahaja berakhir. Membina rasa cinta terhadapnya bukanlah semudah orang lain jatuh cinta pandang pertama. Halim dan aku adalah sahabat yang saling mengenali, bukan setahun dua tapi berbelas tahun dan dia amat memahami sifat dan peribadiku. Bermulanya sekadar sahabat dan akhirnya dia mengakui bahawa perasaannya terhadapku berlainan sekali selepas hampir 6 bulan Halim tidak dapat menghubungi aku. "Kau dah buang tabiat ke Halim, dah jadi kawan, kau nak buat aku jadi bini kau pula, hei, orang lain ramai lagilah!" ujarku tidak percaya apabila Halim meluahkan perasaan yang sebenarnya kepada aku. "Dalam hidup ni tak ada main-main Adwya, aku faham kau memang selalu blank dengan hal macam ni, aku tahu kau memang anggap aku kawan, tapi aku yakin suatu masa kau akan menyerah kalah juga pada aku," Halim bicara serius, tepat memandang wajah aku. "Kau yakin?" soalku kembali. "Mestilah, apa-apa kerja pun yang paling penting yakin, lagi susah nak dapat, lagi tu nak yakin sampai dapat, barulah ada thrill...!" Halim bicara sinis tapi tersenyum nakal. "Kirim salam!" aku mencabarnya. "Halim ikhlas Adwya... buat apa kita mempersendakan perasaan orang, kau tak percayakan aku ke?" bicaranya kali ini kedengaran tulus. "Kita bukan sehari dua saling mengenali, kau dah kenai famili aku, aku pun dah kenal family kau, dan memang kita boleh kahwin, kau ingat aku ni hangat-hangat tahi ayam ke?" sambungnya sedikit melucukan. "Hangat-hangat tahi gigi kaulah," sambungku sambil menuding jari ke mulutnya, aku ketawa dan dia juga ketawa kerana memang ada kelucuannya. Halim pernah beritahu aku, kelucuan spontan yang ada padaku tidak ada pada orang lain. Itulah istimewanya aku di matanya. Halim merenungku tajam. Aku menarik nafas panjang. Memaling wajah daripadanya, merenung langit petang di Taman KLCC. Tiada getar dalam hatiku apabila ditenung begitu oleh Halim. Bukan mudah untuk berterus terang hal seperti ini. Aku menyimpulkannya mudah agar Halim tidak berkecil hati. "Lebih baik aku berterus terang dengan kau, yang aku memang zero kat kau, tak ada selindung. Biarlah masa yang menentukannya, ada jodoh takkan ke mana?" bicaraku perlahan, tidak mahu aku menjentik emosinya. "Beri aku peluang Adwya, itu sahaja!" "Kan aku dah bilang, ada jodoh takkan ke mana, jelas kan?" gurauku dalam nada seberang. Foto Halim kuletakkan ke tepi. Tiada dendam menyemat di hati. Cinta itu telah pun hadir Halim, setahun kebelakangan ini. Sejak aku kembali ke Johor Bahru dan kau melangkah jauh ke kota London. Suatu masa Kuala Lumpur pernah menyuburkan keluhuran perhubungan kita. Walaupun cinta itu tidak hadir, kau acap kali mengungkapkan padaku bahawa kau akan tetap menunggu. Aku yakin inilah cinta yang pernah kau katakan dulu kepada aku. Cinta yang pernah kau nantikan daripada aku. Cinta yang pernah kau kata mungkin untuk orang lain, bukan untuk kau. "Kesian, Fydd tengok akak ni, dah mencintai orang sepenuh hati, barulah tahu yang orang tu dah tak nak kat kita, kisah hidup akak ni macam Siti Zulaikha dan Nabi Yusoflah, cuma versi akak ni terbalik, mula tu Abang Halim yang suka benar sedangkan akak macam tiang elektrik tu, tapi bila akak dah ada reaction macam negatif positif tu, tiba-tiba Abang Halim pula dah zero, hmmm. Fydd rasakan memang dia saja ja buat macam tu, kira memang akak dah kalahlah ni," Fydd menyimpul mudah pengalaman cintaku dengan Halim. "Kalimah kalah tu yang buatkan akak kesal Fydd, akak ikhlas menaruh perasaan terhadapnya sekarang ni, sebab memang itu yang pernah dinantikannya, apabila telah ada, dia campak ke tepi begitu sahaja, pula tu dah saat kami berjauhan begini, kenapa dia buat akak macam ni, seolah-olah memang dia dah rancang berakhirnya seperti ini," bicaraku perlahan. "Sudahlah tu kak, bukankah akak juga yang beritahu kat dia, ada jodoh takkan ke mana, itu tandanya akak memang tak ada jodoh dengannya, mungkin ada hikmahnya Allah berikan akak pengalaman sebegini," pujuk Fydd memahami. Segala-galanya berlalu begitu pantas. Cinta dan harapan menggunung kini mendatar bagaikan pepasir di hamparan. Naluri itu bagaikan telah terpadam untuk mencintai sesiapa. Kesal kerana cinta diperbuat seperti tiada nilainya. Diri diperlakukan seolah patung tidak bernyawa. Perasaan dipermainkan seolah lukanya mudah pulih kembali. Segala-galanya itu membuatkan fikiran aku sebal memikirkan apa yang telah Halim perlakukan kepadaku. Benar kata Kak Zai, teman sepejabatku, lelaki akan lebih tertawan dengan gadis yang berjaya membuatkan dirinya jadi hero, pahlawan yang boleh melindungi, bukannya gadis yang cuma memeningkan dan mencabar kelelakiannya, bagi mereka gadis seperti itu akan hanya menambahkan masalah bukan penyelesai atau pengongsi masalah dengannya. "Saya macam tu ke kak?" Pernah itu yang aku perbincangkan dengan Kak Zai. "Adwya ni kasar, lepas tu memang nampak degil, orang lelaki ni suka gadis berperwatakan lemah lembut dan sopan santun, nampak ideal dan tidak menentang egonya," akui Kak Zai jujur. . Saya rasa dengan orang lain saya tak ada masalah pun, cuma kalau lelaki yang more feeling kat saya tu aja akan jadi macam ni, kenapa saya ni tak layak jadi isteri orang ke?" soalku tidak puas hati. "Hah tukan, itulah degil namanya, bukannya tak layak, tapi jodoh belum ada. Allah lebih tahu apa yang terbaik buat Adwya, dah jangan fikirkan sangat," mudah sahaja Kak Zai melerai kekusutanku. Sekian lama memujuk perasaan agar tabah mengharungi dan berasa terlalu bersyukur kerana Allah memberi kekuatan menempuhi segala-galanya dengan tenang. Sehingga satu saat, walaupun Halim masih sukar luput daripada fikiran, namun aku tetap mengolah rasional bahawa ketentuan Allah itu memang ada hikmahnya buatku. Tumpuan kepada keluarga, teman dan kerjaya lebih membuatkan aku rasa lebih selamat dan bahagia. Memang hidup rasa kosong pada usia begini, kerana belum menemui pasangan yang benar-benar memahami keperibadian diri. Sampai satu ketika begitu ingin mempunyai anak dan keluarga yang memahami dan menyayangi diri. Setiap masa tekanan itu melingkar semangat dan kehidupan. Namun apalah daya wanita seperti aku ini, cuma mampu berdoa dan bertawakal. "Adwya, ada telefon untuk kau," panggil Kak Zai. "Siapa?" soalku tertanya-tanya. "Buah hatilah, siapa lagi!" gurau Kak Zai penuh makna. "Buah hati? Jangan merepek kak," degup jantungku kencang saat Kak Zai beritahu buah hati ingin bercakap denganku. "Sejak bila Kak Zai kata dia buah hati saya?" telahanku menduga Kak Zai. "Sejak minggu lepas masa Adwya cuti, dia telefon nak bercakap dengan Adwya, baru hari ni dapat bercakap, rindu betul dia kat Adwya," kata Zai membalas selamba. "Ah... rindu kat saya... seronoknya saya dengar!" memang ada. sesuatu yang menyentuh perasaanku apabila Kak Zai beritahu perkara sebenarnya. "Adwya... jangan cari masalah, lain jadinya nanti," pesan Kak Zai penuh makna. "Tapi... musykil juga kan kak, dah lama tak dengar suara dan kelibat dia, tiba-tiba hari ni dia telefon dan bercakap dengan saya, nak jumpa dengan saya lagi petang ni, dia nak minta tolong saya, itu katanya," bicaraku bernada gembira. Kak Zai, terpaku melihat gelagatku. Musykil, mungkin itu yang menyentuh fikirannya. Aku serba salah. Pengalaman yang pernah mak ceritakan kepadaku yang dia pernah hampir dimadukan, memeritkan telinga pengalamanku. Semengertinya aku cuba memahami, pengalaman itu sangat menyakitkan mak. Saat itu aku belum dilahirkan, Keluhuran peribadi mak membuatkan impian abah hampir tercapai kerana mak sendiri yang pergi meminang bakal madunya itu. Dia akui sedikit pun tidak terluka kerana baginya ketentuan takdir itu melebihi segala-galanya. Mak dan abah melalui kegetiran itu dengan saling percaya yang begitu utuh. Keikhlasan dan kejujuran mencerminkan kekuatan perhubungan mereka. Dan akhirnya beberapa percubaan abah Lin untuk menikah lagi tidak pernah menjadi. Abah kata, ketabahan dan keluhuran maklah yang mengukuhkan kasih sayang mereka. Walau sehebat mana badai, walau berjuta apa pun ranjau dan kemelut, mak tak cepat melatah malah dia tenang dan tersenyum. Kerana baginya ujian Tuhan itu meningkatkan keimanan dan ketakwaannya. Mak tidak pernah berbelah bahagi menghadapi ujian rumah tangganya. Dia tidak mahu itu yang berlaku kepadaku. Dia pernah katakan padaku, yang pertama itu adalah mak dan jangan jadi yang kedua, ketiga apatah lagi keempat. Kalau salah satunya selepas satu selepas satu adalah kau, maka kau sangat melukakan hati mak. "Mak berdoa Adwya, semoga Allah jauhkan dirimu dari pengalaman semacam mak, kerana kekuatan diri mak tiada padamu, Adwya akan mudah menyerah kerana seseorang yang Adwya garapkan harapan, elakkan sayang... mencintai seseorang yang telah dimiliki bermakna. Adwya melukakan hati insan sepertimu. Adwya menitiskan air mata saat mendengar kisah mak, tergamakkah Adwya melihat mereka juga akan menangis seperti Adwya, sedangkan Adwya cumalah mendengar, tidak melaluinya, sayang, ingatlah pesan mak ni," aku sendiri tidak mengerti kenapa bicara itu yang pernah mak luah padaku lima tahun yang lalu. Saat pintu kedewasaan menjengah usiaku kala itu, seolah-olah dia tahu lewat kerunsingan yang akan aku alami kini. "Begitu jelas pendirian Halim, Adwya?" tanya mak ringkas. "Jelas, terang dan nyata mak," jawabku juga ringkas. "Begitulah namanya hidup, ada saja perkara yang akan Allah duga kita, bunga bukan sekuntum." "Kumbang bukan seekor," sesambar kilat aku menyambung. "Jangan salah pilih kumbang, sudahlah," bicara mak membuatkan aku tersirap darah. "Kenapa?" tiba-tiba itu juga mak kembali menyoal. "Tu... ahhh kuali mak dah hangus ikan tak letak lagi," mujur ada helah. Adwya, kau memang bijak sebab on the spot kau mesti ada idea nak boloskan diri. Detik hatiku lega. Tersenyum sendiri. Tapi tidak berniat hendak berselindung dengan mak apa yang kini aku alami. Cukuplah kepedihan diperlakukan Halim bagaikan bahan eksperimen kajian psikologinya. Itu yang mak tahu. Memahami dan mengerti situasi itu sepenuhnya. Tapi tidak pada situasi ini. Aku tidak sanggup untuk berkongsi cerita yang ini dengannya. Kisah ini akan cuma menjadi penyebab, akulah yang melukakan hati mak. Bukan lagi abah. Jujur aku katakan, aku sendiri tidak mahu melalui situasi seperti yang mak katakan. Sebolehnya dengan seluruh kekuatan yang ada dalam diri aku cuba untuk menepisnya, membuangnya jauh, walaupun ada kala aku tidak berdaya. "Kak, kenapa jadi macam ni, akak tak ingat ke akak pernah nangis sebab Abang Halim semurahnya membuang cinta akak dulu, fikirkanlah kak, akak tidak mungkin dapat menggapai cinta yang ini, kerana terlalu rumit ranjaunya:.." Fydd juga terkesan dengan emosi yang melandaku kini. "Akak faham Fydd, akak tak mungkin dapat menggapai cinta itu untuk akak, kerana terlalu rumit ranjaunya, tapi..." aku tak mampu meluahkannya lagi. "Tak ada tapi-tapi kak, saya tak suka akak libatkan diri akak dengan cinta macam ni, akak faham kan apa yang pernah mak ceritakan pada kita dulu?" soal Fydd sedikit meninggi. "Akak faham Fydd, akak tahu apa yang pernah mak pesan pada kita dulu," ketar bicaraku cuba membela diri. "Kali ini saya memang kecewa dengan akak, saya kesal sebab akak tidak seperti dulu, akan jadi begitu lemah dan tidak berdaya, bukankah pendirian akak tidak mahu menghancurkan perasaan orang lain kerana mempertahankan cinta akak, sebelum berlarutan lebih baik akak hentikan perasaan tu, akak akan hanya mengecewakan ramai orang kak, ramai orang!" "Mak, abah, isterinya, anak-anaknya, kawan-kawan, abang dan kau Fydd!" Aku memeluk Fydd erat. Aku perlukan kekuatan saat melalui kegetiran ini. Kekuatan yang inginku cedok darinya. Adik yang sangat memahami kerunsinganku kala ini. "Kak, usah berdendam dengan diri, sehingga akak berkeputusan akak membujang selamanya, itu sahaja yang saya pohon, bukankah akak mengidamkan anak yang putih, bermata sepet dan comel seperti akak?" Fydd bijak memikat minatku untuk berbicara kembali. "Rabiah al-Aewiyah juga tidak kahwin, malah dia memiliki keluhuran cinta yang paling agung daripada al-Khaliq, malah cinta itu yang membuatkannya gagah menentang ranjau dunia," jawabku tenang sambil mengesat air mata. "Tapi akak pernah beritahu saya, akak teringin nak rasa sakit bersalin kan?" cepat Fydd mengalih tajuk. . "Entahlah, Fydd... Allah saja yang Maha Mengetahui," luahku penuh erti. Fydd, Maafkan Kak Adwya. Sampaikan salam sayang buat mak dan abah. Warkah ini adalah pertama dan terakhir buatmu. Saat kau menatapinya akak telah jauh daripadamu sayang, jauh membawa cinta yang telah akak pasti tidak akan digapai saat akak masih ada di situ. Akak pernah mencintai Halim kerana kesungguhan dan keujurannya berterus terang dan akak membalas cintanya. Tapi cinta yang ini terlalu kuat Fydd, cinta ini terlalu sukar untuk dicapai dan begitu tajam ranjau yang menanti. Akak tiada kekuatan untuk menempuhinya Fydd, akak tidak mahu berusaha untuk menikmatinya kerana akak tidak mahu menjadi hamba Allah yang paling banyak melukai hati orang lain. Cinta akak untuknya bukanlah cinta yang lahir menjadi sebab untuk orang lain terluka. Cinta akak terlalu suci dan luhur untuknya. Cinta ini tetap akan pertahankan kerana cinta ini tidak berdosa. Maafkan akak Fydd, akak terlalu mengecewakanmu. Akak tidak berdaya menjauh dan melupai dirinya kerana cinta yang mendalam terhadapnya. Dia tidak pernah tahu Fydd. Benar katamu, impian akak adalah mustahil untuk hidup bersamanya, kerana itulah yang paling mustahil bagi akak apabila masih ada di situ. Akak akan setia bersama cinta ini, menanti hadirnya di sini. Cinta dan kebahagiaan abadi milik akak ada menanti di sini bukan di situ. Salam sayang, Kak Adwya. Mak! Abah, Fydd tak berupaya membendung air matanya lagi. Dia memeluk mak erat. Abah mengesat air mata, terharu dengan surat yang ditemui Fydd dalam buku Rabiah al-Adawiyah milik Adwya. "Maknya, Adwya pergi kerana beban cinta yang ditanggungnya sendirian, cintanya yang-sangat mendalam yang akan menyebabkan dia menjadi yang kedua," ringkas abah menerangkannya pada mak. Dan senja itu Fydd melihat mak memeluk gambar Adwya erat. Remang senja itu mak berbisik, seolah-olah Adwya ada di sisinya. "Mak redha dengan pemergianmu, sayang, pengorbananmu kerana tidak mahu melukai hati yang pertama pasti menpapat ganjaran Allah." AI-Fatihah.. .
|