Resah menggamit jiwa. Insan yang ditunggu tak kunjung tiba. Janjinya pukul lapan, tapi dinihari pun belum menjelma. Siaran Discovery Channel di Astro pun tidak lagi berjaya menambat hati. Rasa bosan membuatku membelek-belek suratkhabar semalam yang masih belum terusik. Redup mataku bertukar rindu apabila terpandang gambarnya di dada akhbar. Projek terbarunya menuju jaya. Dia berkarisma, tokoh berwibawa. Petah membicarakan sebarang isu. Sudah berkali wajahnya terpampang di media massa dan aku juga sudah lali dengan rutin hidupnya yang begitu padat. Namun tetap syukurku menggunung tinggi apabila dia masih setia meluangkan waktu bersamaku. Sedetik bersamanya cukup bermakna.
Mengenali Dato Z suatu suratan. Teringat kembali waktu-waktu di kampus. Kehidupan amat sukar bagi seorang insan sepertiku. Aku sering dirundung masalah kewangan bagi membiayai pembelajaran dan kehidupanku di kampus. Biasiswa asyik lewat! Tapi duit buku-buku dan sewa perlu dibayar. Sebagai anak yatim, aku tiada tempat berharap melainkan saudara-mara yang turut punya tanggungan besar dan berat. Membantuku suatu bebanan. Setiap hari aku menangisi nasib diri hingga suatu malam yang cukup dingin, aku terbaca suatu rencana di majalah mengenai kejayaan Dato' Z. Sekadar menyejukkan hati, aku menulis sepucuk surat kepada Dato Z melalui alamat syarikatnya bagi meluahkan segala masalah yang terbuku dihatiku. Namun tidak sedikit pun kumengharap sebarang balasan kerana aku sedar siapalah aku di sisi seorang tokoh berjaya?
Sebulan berlalu. Aku sudah melupakan suratku pada Dato Z. Bagiku ia adalah suatu tindakan luar kawalku yang bodoh dan lucu. Ah! Dato Z mana ada masa untuk mendengar masalahku! Dia sibuk wahai Rina! Lagipun lebih baik dia menderma pada badan kebajikan daripada membantu gadis pelajar yang entah siapa! Aku ketawa sendiri mengenangkan kebodohanku.
Namun sangkaanku ternyata meleset. Tergamam aku tatkala menerima sekeping cek 4 angka yang nilainya tidak pernah kugenggam selama ini. Beserta cek itu, terkepil nota ringkas yang berbunyi:
"Life is not that cruel. Maybe I can be your guardian father ."
Nombor telefon bimbit peribadi Dato Z tercatat sekali. Mimpikah aku?
Sumbangan ikhlas Dato Z cukup untuk membiayaiku selama berbulan-bulan lamanya. Baru kini aku dapat membeli semua buku-buku rujukan tanpa perlu memfotostat seperti dahulu. Jika tidak, sudah pasti aku hanya mengharap ehsan pelajar senior dan teman-teman. Aku juga dapat menikmati kehidupan kampus yang lebih selesa dan ceria. Beban kewangan sudah boleh kulupakan.
Suatu hari, terdetik hatiku untuk menghubungi Dato Z. Sebelum ini aku telah menghantar kad terima kasih tetapi masih belum berani menghubungi talian bimbitnya secara personal. Gementar jari-jemariku mendail nombor. Diriku terus gugup apabila terdengar suatu suara. Aku lekas-lekas memperkenalkan diri, mengucapkan terima kasih dan kerana gemuruh, aku terus meletakkan gagang. Namun tidak sampai seminit, telefon berdering kembali. Kubiar rakanku menerima panggilan kerana pasti ia untuk rakanku. Sebenarnya aku hanya meminjam telefon di rumah sewa rakanku tadi. Aku terkejut bila Sherry menghulurkan kembali gagang kepadaku dengan senyuman penuh makna.
Dato Z ! Sudah tentu nombor telefon Sherry terpampang di telefon bimbitnya. Patutlah Dato Z dapat mengesanku kembali. Dengan nada serius, Dato Z menegur tindakanku yang terus meletak telefon sebelum sempat dia berkata apa-apa. Serta-merta wajahku merah.
Malunya kerana berkelakuan seperti budak kecil! Dato Z menuntut aku meminta maaf secara bersemuka dengannya. Aku panik! Tak pernah terfikir dihukum begini. Kuingat Dato Z hanya bergurau tetapi dari nada suaranya yang tegas, aku terpaksa terima hakikat keseriusannya. Dato Z pasti memarahiku dan anggap aku insan tak kenang budi....Semalaman aku tidak dapat tidur menanti saat hukuman!
Seperti yang dipinta, aku menunggu DAto Z di meja 12 di sebuah coffee house hotel terkemuka di ibu kota. Meja itu agak terselindung. Hatiku merungut . Aku terpaksa ponteng kelas Perakaunan Lanjutan II kerana permintaan Dato Z ini. Aku memang jarang ponteng kelas, tambah-tambah lagi subjek rumit seperti Perakaunan Lanjutan II ! Nampaknya lepas ini aku pening laa nak study balik...Di coffee house ini pula, aku seperti rusa masuk kampung . Maklumlah, aku tidak pernah termimpi untuk menghirup secawan kopi di hotel 5 bintang ini. Pakaian baru pun terpaksa aku beli khusus untuk bertemu Dato Z. Malulah jika aku pakai baju-baju lamaku yang sememangnya tidak kena gaya untuk ke hotel bertemu tokoh berjaya. Nasib baik aku tidak boros membelanjakan wang pemberian Dato Z.
Wajahku terus pucat apabila tokoh yang hanya kulihat di skrin TV dan dada akhbar sudah duduk di depanku. Serius dan tegas. Matanya meliar meneliti diriku. Aku pula terlalu takut merenung wajahnya yang seakan ingin menghukumku tanpa belas! Aku hanya tunduk tanpa suara...
Namun Dato Z tiba-tiba berubah wajah. Sebuah senyuman terukir menyerlahkan suatu watak lain yang lebih berbudi-bicara. Aku tidak menyangka Dato Z seorang yang begitu ramah dan cepat mesra. Berbeza dengan watak awalnya yang serius dan beku. Kematangan dan karismanya terserlah dalam setiap butir bicara. Aku kagum melihat keperibadiannya .Sepetang bersama Dato Z rupa-rupanya membibitkan pertemuan demi pertemuan yang lain. Dato Z mempunyai karisma dan tarikan yang luar biasa sehingga bisa mencairkan hatiku. Aku akhirnya tidak dapat menafikan lagi hubunganku dengan Dato Z semakin mendalam. Aku dilamun cinta buat pertama kalinya!
Hidupku juga berubah. Dilimpahi kemewahan yang tak pernah kumimpikan selama ini. Bukan aku meminta tetapi Dato Z yang tidak putus memberi. Katanya wang ringgit tidak bermakna lagi buat dirinya. Tetapi kebahagianku adalah kebahagiannya juga. Katanya lagi, hadirku membawa sinar baru dalam hidupnya. Jarak usia sudah tidak lagi menjadi isu apabila hati sudah terpaut. Aku terpikat dengan kematangan seorang dewasa sepertinya!
Ketukan pintu bilik mengejutkan aku dari lamunan panjang. Aku tersenyum sendiri. Dato Z tidak pernah mengecewakan aku. Selewat mana pun, pasti ada ruang waktu untuk dia menghadirkan diri. Aku tak pernah marah, jauh lagi merungut. Aku faham situasinya.
" Sorry , yang....Datin ajak pergi dinner kat Concorde tadi. Gathering MLM dia...Terpaksa entertain kawan-kawan dia yang datang..." jelas Dato Z sambil merangkul pinggangku. Wajahnya kelihatan penat. Aku tersenyum cuma. Inilah risiko yang perlu kuterima apabila menumpang kasih Dato Z. Diriku tidak seperti insan-insan lain yang sedang hangat bercinta. Cintaku perlu disorok. Tidak boleh didedahkan pada umum. Bermain 'sembunyi-sembunyi' sudah lali dalam hidupku. Aku terpaksa berlakon. Gerak-geriku sentiasa perlu berhati-hati. Tersalah langkah bermaksud mengundang bencana! Aku hanya bebas melakukan apa sahaja bersama Dato jika sesekali Dato melarikan aku ke luar negeri! Pelarian itu sebenarnya lebih indah dari terkurung di sangkar emas di tempat sendiri. Namun itulah hakikat yang terpaksa kutelan...biarpun pahit.
Wajah Dato Z sugul. Tak ceria seperti selalu. Puas aku bertanya. Dato Z tetap membisu. Hatiku tiba-tiba berdebar-debar...seakan dapat mengagak apa yang berlaku. Pasti 'pihak sebelah sana' sudah dapat menghidu hubungan sulit Dato Z denganku. Dadaku bergetar menahan sebak. Mungkinkah percintaanku dengan Dato Z akan berakhir...?
" Datin tahu, bukan??" soalku perlahan, cuba menenangkan diri. Dato Z mengeluh nafas panjang.
" Bukan dia saja...I gaduh besar dengan Datin lepas dinner tadi. Rupa-rupanya dia dapat intip kita.Dia ugut untuk dedahkan pada umum untuk jejaskan reputasi I...Kecuali I tinggalkan you..But of course I won't let that happens..."
Kebimbanganku selama ini menjadi kenyataan. Namun ayat terakhir Dato Z sedikit sebanyak melegakan aku. Tetapi jiwa kewanitaanku berasa amat bersalah pada Datin. Sepanjang hubunganku dengan Dato Z, aku tidak pernah membicarakan tentang Datin. Dato Z juga tidak pernah membawa hal keluarganya ke pengetahuanku. Malah aku juga tidak pernah mendengar sebarang rungutan Dato Z atau komen negatifnya tentang Datin. Dato Z cukup menjaga hal peribadi keluarganya. Hanya sekali-sekala dia bercerita tentang anak-anaknya yang sedang meningkat remaja. Aku hanya mengenali Datin melalui majalah-majalah wanita yang merakamkan gambarnya serta dekorasi banglo mewahnya untuk dimuatkan dalam ruangan gaya hidup orang ternama atau mengundangnya untuk ditemuramah tentang pelbagai isu termasuk isu-isu sosial yang hangat diperkatakan! Oh...apa sudah terjadi kepada diriku???
" Kenapa menangis ni, yang..?? sapaan lembut Dato Z menyedarkan aku. Ah! Air mata menitis laju. Aku membenamkan wajahku pada tubuhnya. Dato Z membelai rambutku yang bercampur-campur warnanya.
" I'm really afraid of losing you...." luahku dalam esakan. Dato Z cepat-cepat menutup bibirku yang kedinginan dimamah air-cond.
" Reen...I tak sanggup lagi tengok hidup you yang tak seperti orang lain. You masih muda tapi hidup dalam persembunyian. Apa kata kita kahwin saja???"
Aku tersentak. Itulah ayat yang kutunggu-tunggu selama ini. Berkahwin bagiku suatu penyelesaian. Tidak lagi hidup diselubungi rahsia dan dosa! Namun dapatkah Datin dan anak-anaknya menerimanya? Bagaimana pula pandangan masyarakat yang masih memandang sinis gelaran isteri ke-2?Dapatkah pula sanak saudaraku di kampung menerima perkahwinan aku dan Dato Z dengan fikiran terbuka? Sudah pasti soal darjat, status dan perbezaan umur menjadi isu.
" Bila you dah cukup bersedia, kita cari jalan untuk bernikah..." Dato Z seakan-akan dapat membaca persoalan yang bermain di fikiranku. Aku hanya mengangguk setuju tetapi fikiranku bercampur-baur. Dato Z akhirnya terlena dipangkuanku sementara aku masih terjaga dirundung dilemma.
Demi Allah...aku benar-benar menyintai Dato Z. Setiap saat bersamanya satu kurniaan bagiku. Impianku adalah untuk hidup bersamanya dengan ikatan yang suci. Dato Z segala-galanya dalam hidupku yang sebelum ini ketandusan kasih dan sayang. Tetapi hati Datin pasti akan hancur luluh. Kebahagiaanku nanti akan mengorbankan kebahagiaan Datin selama ini. Aku wanita...aku faham naluri dan perasaan insan wanita yang lain. Namun cintaku pada Dato Z adalah tulus dan suci dan bukan bersandarkan kebendaan....Dapatkah masyarakat menerimanya tanpa prasangka??
Malam itu, aku menatap wajah Dato Z yang lena dibuai mimpi. Kubelai rambutnya, kuusap pipinya. Wajah itu adalah wajah kekasihku.Wajah itu wajah yang sering kurindu...Hatiku penuh kecintaan terhadapnya..Ah..Alangkah indahnya perasaan itu...
Hadiah-hadiah mahal pemberian Dato Z kususun rapi. Kosmetik berjenama terkenal kuatur cantik di meja solek bersama koleksi wangian dan barangan kemas yang lain. Teddy bear kesayangan kuletak di sisi Dato Z. Pakaian-pakaian mewah kugantung seumpama butik di dalam almari besarku. Kasut-kasut pelbagai warna dan fesyen kusimpan kembali ke dalam kotak. Kad-kad kredit dan priveledge cards pemberian Dato kuhimpun di dalam laci. Begitu juga dengan beg-beg kulit yang ada yang masih tidak tertanggal harganya. Manakala kunci kereta dan kondominium ini kuletak di atas meja bersama nota terakhirku...
Dalam keheningan Subuh, aku melangkah keluar dari sangkar emas ini. Biarlah aku kembali bebas dan menjalani hidup seperti dahulu..sebelum aku mengenali Dato Z.. Berseluar jeans dan T-Shirt lamaku yang sekian waktu tidak kupakai, aku mencari jalan pulang. Beg sandang lusuh kubawa bersama. Di dalamnya tiada apa kecuali sebuah musical box berirama 'Unchained Melody' yang pilu dan sayu..Musical Box itu ada nostalgianya. Ia adalah hadiah pertama pemberian Dato sempena hari lahirku yang ke-21. Oh...aku cinta Dato...Tetapi cinta itu memerlukan pengorbanan..Tak rela aku menyaksikan kejatuhan Dato Z sepertimana tokoh-tokoh terdahulu yang pernah tersungkur hanya kerana seorang wanita. Inilah pengorbananku, Dato...Air mataku menitis lagi...
------------------------
Ring!! Ring!!! "Rina sayang...where are you, sweetheart!!!???" Ah!!!! Satu hal lagi!!! Aku terlupa memulangkan 'Nokia' pemberian Dato!!!!!..................